Seorang lelaki positif dadah dalam operasi pusat hiburan

LAHAD DATU: Polis menahan seorang lelaki selepas ujian saringan air kencing mendapati individu berkenaan positif dadah dalam Operasi Pemeriksaan Pusat Hiburan yang dijalankan, semalam.

Operasi yang dilaksanakan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu itu melibatkan seramai 10 pegawai dan anggota dengan pemeriksaan ke atas dua pusat hiburan di sekitar daerah ini.

Seramai 16 individu daripada pelbagai bangsa dan kewarganegaraan diperiksa dalam operasi berkenaan. Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap lima pengunjung mendapati seorang lelaki positif dadah jenis Methamphetamine, Amphetamine dan Ketamin.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata, operasi dan pemeriksaan berkala akan terus dilaksanakan bagi membanteras penyalahgunaan dadah serta memastikan premis hiburan tidak dijadikan tempat aktiviti menyalahi undang-undang.

Menurutnya, komitmen berterusan itu selaras dengan usaha polis memerangi jenayah dadah di daerah Lahad Datu.