KOTA KINABALU: Kumpulan SEDCO akan mengambil pendekatan tegas terhadap anak syarikat yang gagal mencatat keuntungan dalam tempoh setahun, termasuk melalui management buyout (MBO) atau penutupan operasi, kata Pengerusinya, Datuk Masiung Banah.
Menurut beliau, mengekalkan syarikat yang terus mencatat kerugian bukan sahaja menjejaskan prestasi kumpulan, malah bercanggah dengan matlamat SEDCO sebagai pemacu pembangunan ekonomi negeri.
“Mempertahankan syarikat yang rugi hanya akan membebankan agensi induk. Itu satu bentuk kegagalan pengurusan,” katanya kepada media selepas Majlis Amanat Pengerusi dan Pengurus Besar Kumpulan SEDCO.
Masiung berkata, semua anak syarikat akan dinilai berdasarkan pencapaian KPI yang ditetapkan dan kegagalan mencapai sasaran memerlukan justifikasi yang jelas serta pelan pemulihan yang konkrit.
Beliau turut memaklumkan bahawa pengurusan tertinggi SEDCO sedang menilai keberkesanan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat korporat di bawah kumpulan itu, termasuk dari aspek prestasi kewangan dan kecekapan operasi.
Tambahnya, pemantauan akan dibuat setiap tiga bulan dan tidak terhad kepada laporan bertulis, sebaliknya turut melibatkan lawatan lapangan bagi memastikan operasi sebenar selari dengan sasaran ditetapkan.
