SBS Berjaya Ketika Di Bawah Warisan, Semporna Kembali Kotor Selepas Program Dihentikan

SEMPORNA: Kempen Sabah Bebas Sampah (SBS) yang dilaksanakan di bawah pentadbiran kerajaan Warisan sebelum ini terbukti berjaya menjadikan Semporna sebagai bandar yang bersih dan terurus dalam tempoh singkat.

Bekas Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Jaujan Sambakong, berkata kejayaan kempen itu banyak bergantung kepada kepimpinan yang tegas, kerjasama pelbagai pihak dan penguatkuasaan yang berkesan.

“Matlamat utama SBS bukan sekadar membersihkan Semporna, tetapi membentuk tabiat baharu dalam kalangan masyarakat untuk menjaga kebersihan secara berterusan,” katanya.

Hanya Dua Bulan Bersih, Undang-Undang Dikuatkuasa

Menurutnya, kempen berkenaan diketuai oleh Pegawai Daerah Semporna ketika itu, Bianus Kontong, yang berjaya menyatukan pihak berkuasa tempatan, pasukan penguat kuasa dan komuniti dalam satu gerakan besar.

Bianus Kontong

“Antara tindakan tegas yang dilaksanakan termasuk penguatkuasaan undang-undang kecil yang mengenakan denda serta-merta sebanyak RM50 terhadap individu yang membuang sampah di tempat awam.

“Kami berjaya membersihkan bandar ini dalam tempoh dua bulan sahaja,” jelas Bianus dalam satu sidang media.

Guna Insinerator, Bot Skimmer dan Pendidikan Awam

“Bagi menangani masalah sampah secara menyeluruh, SBS turut memperkenalkan teknologi seperti bot skimmer untuk mengutip sampah terapung serta dua insinerator yang mampu membakar sehingga dua tan sisa sehari, dengan hanya meninggalkan dua kilogram abu.

”Program kesedaran kreatif turut dilaksanakan, termasuk mewajibkan pesalah kebersihan memakai vest bertulis “Saya Monyet” sebagai mesej awam mengenai kepentingan menjaga kebersihan,” katanya Bianus.

Perkhidmatan bot skimmer untuk mengutip sampah terapung.

Program Dihentikan, Semporna Kembali Kotor

Bagaimanapun, menurut Jaujan, segala inisiatif tersebut dihentikan selepas pertukaran kerajaan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sekali gus menyaksikan Semporna kembali berdepan masalah sampah.

“Tiada lagi penguatkuasaan, tiada gotong-royong, dan tiada kesinambungan terhadap usaha yang telah dimulakan,” katanya.

Beliau turut menyatakan kekesalan apabila ada pihak yang cuba menyalahkan Warisan atas kemunduran semula Semporna, sedangkan rekod jelas menunjukkan kejayaan program itu ketika di bawah pentadbiran parti tersebut.

“Warisan pernah membersihkan Semporna dan kami bersedia untuk melakukannya sekali lagi. Ketika orang lain memberikan alasan, kami membuktikan hasil,” tegas beliau.