Sarifuddin gesa kerajaan campur tangan bantu ibu bapa terkesan perubahan tarikh Konvokesyen UMS

KOTA KINABALU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai,  Sarifuddin Hata menggesa kerajaan mempertimbangkan langkah segera bagi membantu ibu bapa dan pelajar yang terjejas susulan perubahan tarikh Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang bertembung dengan hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 29 November ini.

Menurut beliau, kerajaan perlu memainkan peranan penting dengan mengadakan perbincangan bersama pengendali penerbangan utama agar mereka memberikan kelonggaran kepada penumpang yang terlibat untuk menukar tarikh penerbangan atau mendapatkan semula bayaran tiket tanpa dikenakan caj tambahan.

“Saya menerima banyak aduan daripada ibu bapa yang sudah membeli tiket penerbangan dan menempah penginapan lebih awal untuk menghadiri majlis konvokesyen anak mereka.

“Apabila berlaku perubahan tarikh, mereka terpaksa menanggung kos tambahan yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sarifuddin berkata, keprihatinan kerajaan amat diperlukan dalam hal ini kerana kebanyakan keluarga yang terlibat datang dari daerah jauh seperti Tawau, Lahad Datu, Sandakan dan Semporna, malah ada juga dari Semenanjung Malaysia.

“Bukan mudah bagi mereka mengumpul wang untuk datang ke Kota Kinabalu demi meraikan kejayaan anak masing-masing. Jika konvokesyen ditunda, wajar kerajaan dan UMS membantu mengurangkan beban mereka,” ujarnya.

Beliau turut mencadangkan agar Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pendidikan Tinggi berunding dengan syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines, AirAsia dan Batik Air, termasuk pengendali hotel, bagi mencari jalan penyelesaian yang adil dan mesra rakyat.

“Jika ada keputusan rasmi menunda tarikh konvokesyen, maka kementerian dan pihak universiti perlu memaklumkan lebih awal kepada semua pelajar dan ibu bapa.

“Ini penting supaya mereka dapat menyusun semula jadual dan urusan perjalanan,” tambahnya.

Menurut Sarifuddin, isu ini bukan hanya soal teknikal semata-mata, tetapi turut menyentuh aspek kemanusiaan dan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat yang mahu meraikan detik penting dalam kehidupan anak-anak mereka.

“Konvokesyen adalah simbol kejayaan dan pengorbanan bertahun-tahun. Jangan biarkan kegembiraan itu terganggu hanya kerana kesilapan dalam penyelarasan tarikh. Saya percaya kerajaan boleh bantu mencari jalan tengah,” tegasnya.

Beliau berharap pihak UMS dan kerajaan negeri dapat segera mengumumkan keputusan rasmi mengenai penjadualan semula tarikh konvokesyen bagi mengelak kekeliruan serta memberikan kelegaan kepada ribuan graduan dan keluarga mereka.