Sabah terima minat pelaburan RM1.4 bilion dalam sektor tenaga mampan

DAVOS: Sabah menerima minat pelaburan awal bernilai kira-kira USD300 juta (RM1.4 bilion) dalam sektor biomassa dan tenaga mampan, sekali gus mengukuhkan aspirasi negeri itu ke arah pembangunan ekonomi hijau dan industri hiliran bernilai tinggi.

Pengerusi Invest Sabah Berhad, Datuk Roger Chin, berkata minat tersebut dizahirkan oleh syarikat Petra Seaga, yang kini sedang menilai cadangan pembangunan kompleks biopenapisan bersepadu menggunakan sumber biomassa tempatan.

Beliau berkata, cadangan itu melibatkan penggunaan sisa pertanian dan perhutanan, termasuk residu kelapa sawit, bagi menghasilkan produk seperti bahan api penerbangan mampan (SAF), biofuel, biokimia, bioplastik serta tenaga boleh diperbaharui.

“Sabah mengalu-alukan minat pelaburan ini sebagai petunjuk keyakinan terhadap hala tuju jangka panjang negeri, namun setiap projek akan dinilai secara teliti dari segi komersial, peraturan dan kelestarian,” katanya.

Chin berkata demikian ketika berucap di Sabah House, sempena World Economic Forum (WEF) 2026 di Davos, di sini kelmarin.

Menurut beliau, Sabah mempunyai kelebihan kompetitif dalam pembangunan bioekonomi berikutan pengeluaran biomassa yang tinggi daripada sektor kelapa sawit, perhutanan dan pertanian.

“Usaha ini selari dengan strategi kerajaan negeri untuk beralih daripada ekonomi berasaskan sumber mentah kepada pemprosesan hiliran, pembuatan termaju dan teknologi hijau, dengan penekanan kepada pelaburan patuh ESG,” jelas Chin.