Sabah tarik pelaburan RM11.3b, kukuh industri sokongan

KOTA KINABALU: Pelaburan bernilai RM11.368 bilion yang direkodkan Sabah setakat suku kedua 2025 dijangka memberi kesan langsung kepada pembangunan industri sokongan termasuk logistik, rantaian bekalan dan pembekalan bahan mentah tempatan.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata, pelaburan berskala besar itu turut meningkatkan keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta memperkukuh daya saing industri negeri.

Beliau berkata, pelaburan kilang keluli hijau oleh Esteel Enterprise Sabah Sdn. Bhd. di Sipitang merupakan antara projek berimpak tinggi yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi mampan.

Selain itu, Dr Kasim berkata Belanjawan Sabah 2026 yang mencatat lebihan RM28 juta memberi isyarat positif terhadap keupayaan negeri mendepani cabaran ekonomi global serta merangsang peluang pekerjaan baharu.