KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri akan melaksanakan rombakan besar-besaran melibatkan kepimpinan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), termasuk pelantikan pengerusi dan ahli lembaga pengarah baharu.
Beliau berkata penstrukturan semula itu penting bagi memperkukuh tadbir urus korporat, meningkatkan akauntabiliti serta memastikan GLC berada di landasan yang lebih kompetitif dalam menyokong agenda pembangunan Sabah.
“Matlamat kita adalah untuk menjadikan GLC pemangkin ekonomi yang berkesan dan boleh dipercayai melalui pengurusan yang kompeten, demi menghasilkan nilai lebih besar kepada rakyat dan negeri,” katanya.
Menurut Hajiji, kepimpinan baharu diperlukan bagi mengemudi era pembangunan yang menekankan pelaburan strategik, pendigitalan, tenaga baharu serta pembangunan sosial—selaras dengan kerangka Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
“Kita menghargai sumbangan kepimpinan terdahulu, namun rombakan perlu dilakukan untuk memastikan transformasi yang berkesan dan berterusan.
“Keutamaan kita ialah masa depan Sabah yang stabil, makmur dan terjamin,” katanya.
