Sabah perketat penilaian projek awam-swasta

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah mengambil langkah memperkukuh tadbir urus dengan menubuhkan Jawatankuasa Kerjasama Awam-Swasta dan Pengurusan Projek Konsesi Negeri bagi menilai semua projek melibatkan kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Hajiji Noor berkata, penubuhan jawatankuasa itu menggantikan Jawatankuasa Penswastaan Negeri yang ditubuhkan pada 1991, selari dengan keperluan semasa dan pendekatan baharu pembangunan negara.

Menurutnya, jawatankuasa berkenaan akan menilai tiga kategori projek, termasuk projek konsesi, berbanding sebelum ini yang hanya tertumpu kepada penswastaan.

“Semua cadangan projek kerjasama awam-swasta akan melalui proses penilaian lebih menyeluruh bermula di peringkat kementerian sebelum dibentangkan kepada jawatankuasa teknikal dan Jawatankuasa Induk,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan ketepatan skop projek melibatkan kepentingan awam seperti bekalan air, pembinaan jalan raya dan perumahan, selain mengelakkan risiko ketirisan serta kegagalan projek.

Katanya, projek yang dikenal pasti berdaya maju akan dikemukakan kepada Kabinet Negeri untuk kelulusan muktamad.

Dalam perkembangan lain, Kabinet Negeri turut meluluskan penambahbaikan inisiatif Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) dengan pelarasan kos pembinaan bagi mengambil kira peningkatan kos bahan dan logistik.

Sementara itu, Hajiji memaklumkan bahawa Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030 akan dilancarkan pada 30 Januari ini.