Sabah negeri pertama tawar biasiswa ke Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia

KOTA KINABALU: Sabah menjadi negeri pertama yang menawarkan biasiswa khas kepada pelajar dari negeri itu untuk melanjutkan pengajian di Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata inisiatif itu menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh pembangunan modal insan, khususnya dalam bidang koperasi dan keusahawanan.

“Kerajaan negeri Sabah menyediakan 35 biasiswa khas kepada pelajar yang ingin melanjutkan pengajian di UKKM.

Perbincangan turut diadakan dengan kerajaan Sarawak dan beberapa kerajaan negeri di Semenanjung untuk mempertimbangkan langkah sama melalui yayasan negeri masing-masing,” katanya di sini semalam.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang, berkata Tabung Pendidikan Yayasan ANGKASA diwujudkan bagi membantu anak-anak ahli koperasi yang berdepan kekangan kewangan untuk menyambung pengajian.

Beliau memaklumkan bahawa sejak tahun 2000, Yayasan ANGKASA telah menyalurkan RM34.9 juta dalam bentuk bantuan pembiayaan pendidikan kepada 1,898 pelajar di seluruh negara, termasuk 14 pelajar dari Sabah dengan jumlah keseluruhan RM183,000.

“Pelancaran tabung ini membuktikan kesungguhan gerakan koperasi membantu anak-anak ahli koperasi di seluruh negara, termasuk di Sabah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ewon mengumumkan peningkatan sumbangan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) kepada Yayasan ANGKASA daripada RM500,000 kepada RM1 juta tahun ini, bagi memperluas bantuan kepada pelajar daripada keluarga B40.

“Kita bersetuju menambah sumbangan supaya lebih ramai pelajar dari keluarga berpendapatan rendah mendapat manfaat dan dapat menampung yuran pengajian mereka,” katanya.