KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah melancarkan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030 dengan sasaran meningkatkan daya saing, produktiviti dan nilai ekonomi negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, pelan tersebut merupakan kesinambungan SMJ 1.0 yang memfokuskan pemulihan dan penstabilan selepas pandemik serta Pilihan Raya Negeri ke-17.
Menurutnya, SMJ 2.0 digerakkan melalui tiga teras utama iaitu sektor pertumbuhan ekonomi, pembangunan modal insan serta jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada sektor perindustrian, pelancongan dan pertanian sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi bagi tempoh lima tahun akan datang.
SMJ 2.0 turut menekankan prinsip pembangunan mampan selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan amalan tadbir urus yang baik.
