KOTA KINABALU: Institusi pendidikan tinggi tempatan perlu menerima perkembangan kecerdasan buatan (AI), namun kerajaan digesa menggubal akta kawalan keselamatan akses digital bagi memastikan teknologi itu digunakan secara beretika.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, berkata negara kini berdepan kekurangan lebih 10,000 jurutera dan pakar AI tempatan.
Katanya, ini sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keupayaan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Menurutnya, walaupun beberapa universiti tempatan telah menubuhkan fakulti AI, institusi pendidikan lain termasuk Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) wajar mengintegrasikan bidang AI dalam kurikulum latihan bagi melahirkan lebih ramai anak Sabah yang menguasai teknologi berkenaan.
“Selain universiti, pusat latihan seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga berpotensi memperkenalkan AI sebagai modul baharu dalam program akademik,” katanya.
Masiung berkata pembangunan modal insan AI tidak seharusnya tertumpu kepada kemahiran teknikal semata-mata, sebaliknya perlu disertai pembentukan sahsiah, jati diri dan nilai moral.
“Kepakaran AI perlu dimanfaatkan selari dengan kemajuan teknologi, namun nilai kemanusiaan tidak boleh diketepikan tanpa rangka perundangan yang jelas,” katanya.
Beliau turut menyifatkan AI sebagai teknologi yang kini memberi pengaruh besar dalam tadbir urus dan pembangunan negara seiring Revolusi Industri.
Sehubungan itu, Masiung menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperluas pembangunan teknologi berasaskan AI merentasi universiti dan institusi pengajian tinggi awam.
Katanya, penglibatan anak muda, khususnya di Sabah, dalam bidang kecerdasan buatan amat penting bagi menampung kekurangan pakar dan jurutera AI tempatan.
