KOTA KINABALU : Seramai 687,031 pelanggan Sabah Electricity akan menerima rebat berjumlah 2.5 peratus daripada jumlah deposit elektrik yang dibayar dalam tempoh terdekat.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Yaakob Jaafar berkata, pemulangan rebat berjumlah RM10.2 juta itu akan dikreditkan terus ke dalam akaun bil elektrik pengguna berdaftar secara berperingkat bermula pada Januari 2025.
Katanya, rebat ini diberikan kepada pengguna di bawah Electricity Supply Enactment 2024, Licensee Supply Regulations 2024 Regulation (5) (1).
“Ini membolehkan pihak Sabah Electricity dikehendaki membuat pembayaran faedah 2.5% ke atas deposit tunai pada bulan Januari setiap tahun.
“Wang cagaran dikira bersamaan dua bulan penggunaan bil elektrik berdasarkan purata bagi enam bulan terakhir dan akan disemak setiap enam bulan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mohd Yaakob berkata, penambahan wang cagaran hanya akan dikenakan sekiranya terdapat peningkatan penggunaan berbanding wang cagaran sedia ada.
“Jika purata penggunaan kurang daripada wang cagaran, maka ia boleh dipulangkan kepada pengguna atas permintaan pengguna melalui rebat kepada bil elektrik mereka.
“Pengguna boleh mendapatkan keterangan lanjut dengan mengunjungi cawangan Sabah Electricity berdekatan atau menghubungi talian perkhidmatan pelanggan 15444 atau 088-515000,” jelas Mohd Yaakob.
Menurutnya, selain itu, pengguna juga boleh memuat turun aplikasi Sabah Electricity melalui telefon pintar untuk mendapatkan info terkini mengenai perkhidmatan Sabah Electricity.