Sabah Cadang Tawar Pendidikan Percuma di UCSF, KTYS – Hajiji

PENAMPANG – Ketua Menteri, Datuk SSeri Panglima Hajiji Noor mengumumkan Kerajaan Negeri bercadang memberi pendidikan percuma kepada pelajar Sabah yang melanjutkan pengajian di institusi milik kerajaan negeri, iaitu University College Yayasan Sabah (UCSF) dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS).

Beliau berkata, kerajaan juga berhasrat memperkenalkan dasar subsidi pinjaman pendidikan melibatkan pinjaman PTPTN dan Yayasan Sabah bagi meringankan beban lebih 100,000 peminjam di negeri ini.

“Inisiatif ini praktikal untuk dilaksanakan sesuai dengan kedudukan kewangan negeri pada masa akan datang. Ia bukti kesungguhan kerajaan membantu anak muda Sabah agar akses pendidikan lebih meluas,” katanya pada Konvensyen Mahasiswa Sabah di Dewan KDCA, di sini.

Hajiji menjelaskan sejak 2021, kerajaan negeri telah membelanjakan lebih RM1.3 bilion bagi sektor pendidikan, menjadikannya peruntukan terbesar dalam sejarah Sabah. Pada tahun ini sahaja, sebanyak RM136 juta biasiswa disediakan melalui Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) untuk manfaat ribuan pelajar.

Antara inisiatif lain termasuk bantuan one-off RM600 melalui GRS-SubFly kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke Semenanjung, Sarawak dan Labuan, selain bantuan RM300 melalui program SENTOSA bagi pelajar yang belajar dalam negeri.

Katanya, hasil negeri meningkat kepada hampir RM7 bilion, sekali gus membolehkan pelbagai program pendidikan dan kebajikan dilaksanakan termasuk Rumah Mesra SMJ percuma untuk golongan miskin serta bantuan bulanan SYUKUR sebanyak RM300 kepada 100,000 penerima.

Dalam pada itu, Hajiji yakin 970,000 pengundi muda akan membuat pilihan tepat pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) demi kesinambungan pembangunan negeri, kestabilan politik serta masa depan generasi muda Sabah.

“Sabah tidak boleh ketinggalan lagi. Masa depan negeri ini terletak di tangan anda. Inilah masanya kita bergerak maju bersama,” tegasnya di hadapan lebih 1,000 mahasiswa yang menghadiri konvensyen tersebut.