Sabah bukan anti-Persekutuan, kami hanya tuntut hak yang dijanjikan – Ewon

KOTA BELUD: Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick menegaskan Sabah bukan menuntut keistimewaan baharu, sebaliknya hanya mahukan hak yang sudah dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ewon, yang mempertahankan kerusi DUN Kadamaian, berkata adalah mengelirukan apabila Sabah dilabel “anti-Persekutuan” hanya kerana menegaskan hak yang dipersetujui ketika Malaysia dibentuk.

“Tanpa Sabah dan Sarawak, Malaysia tidak wujud pada 1963. Dan Persekutuan ini hanya sempurna apabila hak-hak dua rakan pengasas ini dihormati seperti yang dijamin dalam MA63,” katanya.

Berucap pada Program Jelajah Sabah First di Kadamaian hari ini, Ewon menegaskan antara tuntutan utama ialah hak pulangan 40 peratus hasil Persekutuan yang dikutip di Sabah – syarat yang menjadi asas Sabah menyertai Malaysia.

“Ini bukan isu politik. Ini soal maruah rakyat Sabah. Hak itu mesti dibayar segera, kerana ia adalah hak kita – tidak kurang, tidak lebih,” katanya.

Ewon turut menegaskan UPKO kekal konsisten memperjuangkan kedudukan Sabah sebagai rakan setara dalam Persekutuan Malaysia, bukan sekadar negeri biasa dalam struktur pentadbiran pusat.