Sabah alu-alukan pelabur asing berwibawa – Hajiji

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah sentiasa mengalu-alukan kehadiran pelabur antarabangsa berwibawa yang mampu membawa nilai tambah kepada pembangunan industri tenaga serta minyak dan gas negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata kerajaan negeri komited menyediakan persekitaran pelaburan yang stabil, kondusif dan berdaya saing bagi menarik pelaburan berkualiti tinggi, khususnya dalam sektor tenaga dan minyak dan gas.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif ConocoPhillips, Ryan Lance, di pejabatnya di Menara Kinabalu, Khamis.

“Kerjasama strategik antara syarikat minyak antarabangsa dan pemain industri utama perlu memberi manfaat jangka panjang kepada negeri serta rakyat Sabah,” katanya.

Sementara itu, Lance berkata ConocoPhillips merupakan antara syarikat minyak utama dari Amerika Syarikat dan pemain bebas terbesar dunia dalam aktiviti penerokaan serta pengeluaran minyak dan gas, dengan operasi di beberapa rantau strategik global.

Menurutnya, syarikat itu memberi tumpuan kepada pelaburan di Sabah sambil mengukuhkan komitmen jangka panjangnya di Malaysia.

“Kami berbangga dapat bersama-sama membangunkan industri minyak dan gas di Sabah dan yakin industri ini mempunyai prospek pertumbuhan yang cerah untuk masa depan negeri,” katanya, yang pertama kali melawat Sabah.

ConocoPhillips Sabah Gas kini menjadi pengendali tunggal Kluster Kontrak Perkongsian Pengeluaran Kebabangan (KBBC) selepas Petronas memindahkan pengendalian kluster medan minyak dan gas itu kepada syarikat berkenaan pada 21 Jan lalu.