KOTA KINABALU: Kejayaan usahawan wanita Sabah, Datin Saadiah Abdul Rashad, menerima pengiktirafan dalam Buku 100 Wanita Inspirasi Nasional (WIN) 2026 membuktikan wanita negeri ini terus melakar nama dalam bidang keusahawanan dan pembangunan ekonomi negara.
Pengiktirafan itu diterima dalam majlis yang berlangsung di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur, pada 28 Mac lalu.
Datin Saadiah berkata, pengiktirafan tersebut bukan sahaja memberi makna besar kepada dirinya, malah menjadi simbol bahawa wanita Sabah juga mampu bersaing dan menyerlah di peringkat nasional.
“Sebagai wakil usahawan wanita Sabah, saya amat berbangga kerana platform ini turut mengangkat peranan wanita sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi negara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau yang juga Pengarah Urusan Raspand Motor Sdn Bhd berkata, wanita perlu terus diberi ruang, peluang dan sokongan untuk berkembang dalam bidang keusahawanan, kepimpinan serta pembangunan masyarakat.
Saadiah mempunyai rekod cemerlang dalam dunia perniagaan menerusi beberapa syarikat yang diterajui, termasuk NJ Autoworld Sdn Bhd, pengedar 3S Honda Malaysia di Sabah, serta Nurnielamsari Travel Sdn Bhd, syarikat pelancongan inbound yang menyediakan perkhidmatan tiket dan pengangkutan darat serta laut.
Sepanjang perjalanan kerjayanya, beliau turut menerima pelbagai anugerah, antaranya Standing Ovation Award 2018, Elite Dealer 2019 CEO Award, Outstanding Woman Award 2022, Usahawanita Cemerlang Negeri Sabah 2022 dan Elite Dealer Malaysia 2024 Malaysia CEO Award.
Pada masa sama, beliau juga aktif dalam pelbagai peranan komuniti termasuk sebagai Penaung SACOSSA, Penasihat Permata Tijarah Sabah, serta pernah dilantik sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) Semporna.
Program berkenaan dianjurkan oleh Persatuan Usahawan Industri Kecil dan Sederhana Wanita Bumiputra Sabah (IKSNITA) dengan kerjasama Universiti Kolej Lincoln Malaysia.
