‘Runner’ Dicekup, Syabu Lebih 1kg Gagal Diseludup ke Negara Jiran

TAWAU: Cubaan seorang lelaki warga asing menjadi ‘runner’ dadah berakhir apabila polis merampas lebih satu kilogram syabu bernilai kira-kira RM35,000 dalam serbuan di hadapan sebuah pusat penyimpanan sejuk beku di Jalan Chong Thien Vun, di sini, Khamis lalu.

Suspek berusia 19 tahun itu dicekup kira-kira jam 10.15 malam ketika memandu kenderaan pacuan empat roda yang dilihat mencurigakan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, polis menjalankan pemantauan hampir 15 minit sebelum bertindak menahan kenderaan terbabit hasil maklumat risikan.

“Hasil pemeriksaan menemukan satu bungkusan plastik hitam mengandungi bahan hablur jernih disyaki syabu seberat 1,009.47 gram,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mengaku bertindak sebagai penghantar dadah dengan upah puluhan juta rupiah untuk membawa bekalan berkenaan ke negara jiran.

Dalam operasi sama, polis turut merampas kenderaan pacuan empat roda, telefon bimbit, kunci kenderaan serta beberapa barangan kemas yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pengedaran dadah.

Suspek kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman berat jika sabit kesalahan.