KOTA KINABALU: Rundingan agihan kerusi antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 sudah hampir muktamad — hanya menunggu masa untuk diumumkan.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS berkata, walaupun masih ada satu dua kerusi dalam perbincangan, persiapan jentera parti tidak terjejas sama sekali.
“Jangan susah. Rundingan sebenarnya sudah selesai, cuma belum boleh diumumkan awal. Bilangan kerusi pun sudah diputuskan. Kalau ada pun satu dua lagi, ia hampir muktamad,” katanya selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Ahad.
Menurut Hajiji, pelancaran yang menghimpunkan lebih 20,000 penyokong dan jentera GRS menjadi bukti kekuatan gabungan itu menghadapi PRN17.
“Momentum hari ini sangat luar biasa. Kita yakin dengan semangat dan kesepakatan ini, GRS mampu pertahankan Sabah. Insha-Allah, rakyat akan sekali lagi beri kepercayaan,” katanya penuh yakin.
Hajiji turut menjelaskan bahawa kebanyakan bahagian sudah menggerakkan jentera masing-masing sejak awal.
“Banyak kawasan sudah lancar lama, ini cuma pelancaran rasmi di peringkat negeri,” katanya.
Majlis berkenaan turut disertai semua presiden enam parti komponen GRS.
