Rumah Separuh Kekal Musnah Terbakar di Lahad Datu

LAHAD DATU: Sebuah rumah separuh kekal di Kampung Cina, Jalan Bakawali di sini musnah kira-kira 90 peratus dalam satu kejadian kebakaran, petang tadi.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba san Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.35 petang.

Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 4.38 petang, kira-kira dua kilometer dari balai.

Komander Operasi, PBK I Mohd Suait Mohammad berkata, kebakaran membabitkan sebuah rumah separuh kekal berkeluasan kira-kira 35 x 50 kaki.

“Anggaran kemusnahan adalah sekitar 90 peratus,” katanya.

Beliau berkata, operasi pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan, menggunakan sumber air daripada jentera bomba, air terbuka serta pili bomba berhampiran.

Kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.52 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.54 petang selepas pemeriksaan keselamatan dijalankan.

Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.

Seramai tujuh anggota bomba terbabit dalam operasi dengan kekuatan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT).

Turut berada di lokasi ialah agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity bagi tujuan keselamatan serta kawalan kawasan.