Rumah Kos Rendah Lebih Sesuai di Tongod – Jalilah Apiang

TONGOD: Kerajaan belum merancang pembinaan rumah mampu milik di Tongod, sebaliknya menumpukan kepada projek rumah kos rendah yang lebih sesuai dengan kemampuan penduduk setempat.

Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Kuamut, Jalilah Apiang menjelaskan harga rumah mampu milik yang mencecah RM250,000 hingga RM350,000 tidak praktikal bagi penduduk berpendapatan rendah di pedalaman.

Beliau membidas kenyataan Ketua Wanita Warisan Sabah, Nurfaiza Chua, yang mendakwa projek rumah mampu milik dan perkampungan SMJ di Tongod hanya retorik politik.

Menurut Jalilah, dakwaan tersebut tidak berasas dan boleh mengelirukan rakyat.

“Projek semasa yang diumumkan melibatkan pembinaan 50 unit rumah kos rendah berharga RM47,000 seunit serta perkampungan rumah SMJ percuma untuk golongan B40.

“Tapak projek telah dikenal pasti dan pelaksanaannya dijangka bermula awal tahun hadapan oleh Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB),” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jalilah turut menjelaskan bahawa kerajaan sedang merancang kawasan tambahan untuk pembinaan rumah SMJ tahun depan, khusus bagi mereka yang tiada tanah sendiri atau akses kepada infrastruktur asas seperti jalan raya, air dan elektrik.

Beliau menasihati pihak pembangkang agar tidak mengeluarkan kenyataan tanpa fakta dan menyeru semua pihak agar memberi cadangan yang membina.

Katanya, Gagasan Rakyat bersama kerajaan negeri akan terus memperjuangkan keperluan rakyat luar bandar secara realistik dan berfasa.