TUARAN: Seramai 50 penghuni rumah pekerja di Taman Seri Lemawang, Jalan Tuaran berdepan detik cemas apabila kediaman mereka musnah dijilat api dalam kejadian awal pagi tadi.
Kebakaran membabitkan 70 pintu rumah kayu berkeluasan kira-kira satu ekar itu berlaku sekitar 5.45 pagi, sebelum pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran tiba di lokasi 12 minit kemudian.
Menurut Komander Operasi, PBK I Norkijan Durudin, api marak dengan cepat kerana struktur rumah tidak kekal, namun semua penghuni berjaya keluar menyelamatkan diri.
“Seorang lelaki berusia lingkungan 60-an cedera ringan selepas terkena zink ketika cuba menyelamatkan diri. Mangsa diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke hospital,” katanya.
Operasi yang turut disertai 11 anggota bomba itu menggunakan dua aliran 200 kaki dan empat pancutan air dari jentera serta tangki air dengan teknik pemadaman ofensif dan defensif.
Api berjaya dikawal pada 6.28 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 7.52 pagi.
