KOTA KINABALU: Hukuman rotan terhadap murid bukan sahaja gagal membentuk disiplin, malah boleh meninggalkan luka psikologi yang mendalam.
Itulah peringatan Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) yang menegaskan bahawa setiap kanak-kanak berhak diperlakukan dengan penuh hormat.
Pengerusi YPNM Cawangan Sabah, David Chan, berkata tindakan fizikal seperti merotan lebih sering lahir daripada rasa marah berbanding niat mendidik.
Katanya, ketakutan tidak pernah menjadi asas pembentukan akhlak yang baik dalam diri murid.
“Bimbingan emosi dan pendekatan kaunseling jauh lebih konstruktif untuk membantu murid memahami kesilapan mereka.
Pendidikan seharusnya menawan hati, bukan menanam rasa sakit dan malu,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.
Namun begitu, David menekankan bahawa murid yang bertindak ganas, mengancam keselamatan atau mencederakan rakan tetap perlu dikenakan tindakan disiplin yang tegas dan adil agar keselamatan sekolah terpelihara.
Menurutnya, hukuman alternatif seperti amaran bertulis, penggantungan persekolahan dan melibatkan ibu bapa serta kaunselor mampu memberikan kesedaran yang lebih berkesan berbanding rotan yang hanya menghukum tanpa mendidik.
“Kita mahu semua sekolah menjadi ruang yang selamat dan penuh kasih sayang. Pendidikan bukan tempat menyalurkan kemarahan, tetapi tempat membentuk generasi berakhlak mulia,” tambahnya.
