Rokok seludup, minyak haram hampir RM360,000 dirampas

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya mematahkan cubaan penyeludupan dengan merampas rokok dan minyak haram bernilai hampir RM360,000 dalam dua operasi berasingan di daerah ini.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata, serbuan pertama di sebuah rumah di Taman Indah Jaya, Batu 4 Sandakan pada jam 8.30 malam semalam, pasukan PPM Sandakan bersama Unit Gempur Marin menemui 90,800 batang rokok seludup yang disembunyikan dalam bekas plastik.

Katanya, seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun ditahan, manakala nilai rampasan dianggarkan RM129,618. Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967.

“Dalam operasi kedua, Unit Risikan Markas PPM Wilayah 4 menyerbu sebuah gudang minyak haram di Jalan Batu 27, Sandakan.

“Ketika serbuan, suspek dipercayai sedang memindahkan minyak dari tong simpanan sementara ke lori tangki untuk dijual kepada sindiket. Dua lelaki tempatan berusia 26 hingga 66 tahun ditahan. Nilai rampasan mencecah RM228,935 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Nazri berkata pihaknya komited membanteras aktiviti penyeludupan yang bukan sahaja merugikan negara, malah mengancam keselamatan masyarakat.

“PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat orang awam untuk mengekang kegiatan jenayah penyeludupan ini,” katanya.