Rogol anak saudara, lelaki warga asing ditahan

TAWAU: Perbuatan terkutuk seorang lelaki yang dipercayai merogol anak saudaranya sendiri terbongkar apabila mangsa berusia 19 tahun disahkan hamil sebelum suspek diberkas polis kurang 24 jam selepas laporan dibuat.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata laporan diterima daripada seorang wanita tempatan berusia 52 tahun yang dimaklumkan oleh mangsa mengenai kejadian itu.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10 malam di sebuah rumah di Taman Semarak ketika mangsa berada di rumah wanita terbabit.

“Mangsa mendakwa dirogol lelaki yang juga adik kepada suami wanita terbabit sebelum dibawa ke klinik untuk pemeriksaan kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan laporan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau menahan suspek warga asing berusia 40-an di sebuah bilik sewa sekitar Bandar Sabindo kira-kira jam 3.50 petang, semalam.

Siasatan awal mendapati suspek mempunyai satu rekod kesalahan lampau berkaitan penyalahgunaan dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.