KOTA KINABALU: Razzidin Robert mengumumkan pengundurannya sebagai ahli Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) dan meletakkan jawatan sebagai Timbalan Ketua Exco Wiramuda, berkuat kuasa serta-merta.
Dalam satu kenyataan hari ini, Razzidin berkata keputusan itu dibuat selepas pertimbangan teliti berhubung hala tuju politik dan peranannya dalam meneruskan khidmat kepada masyarakat.
Beliau menyifatkan keputusan berkenaan sebagai sukar, namun perlu diambil pada masa ini.
Razzidin turut menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan parti serta rakan seperjuangan atas peluang dan pengalaman yang diperoleh sepanjang penglibatannya dalam parti.
Menurutnya, beliau akan terus berkhidmat kepada masyarakat Sabah khususnya di kawasan Parlimen Keningau melalui pendekatan yang lebih sesuai, tanpa memperincikan perancangan politik seterusnya.
