KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman menggesa rakyat mempertahankan perpaduan dan menolak sebarang cubaan menabur kebencian, terutamanya menerusi media sosial.
Dalam perutusan sempena Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2025, beliau menegaskan bahawa keamanan, keharmonian dan semangat bersatu padu adalah sumbangan terbesar rakyat Sabah kepada negara.
“Amat membimbangkan apabila kebencian semakin tersebar di media sosial, dengan kandungan yang disalah tafsir dan dikongsi berulang kali tanpa pengesahan,” katanya.
Musa mengingatkan, walaupun teknologi makin canggih, rakyat tetap bertanggungjawab memastikan maklumat yang dikongsi adalah tepat.
Beliau turut menekankan keunikan etnik dan budaya menjadikan Sabah sebagai contoh perpaduan yang cemerlang, dan keharmonian ini tidak boleh digugat oleh pihak yang mahu memecah-belahkan masyarakat.
Tambah beliau, rakyat Sabah perlu terus bekerjasama membangunkan negeri dan negara, serta mengekalkan rasa hormat tanpa mengira bangsa, agama dan asal-usul.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan pentingnya merapatkan jurang pembangunan antara Sabah dan negeri lain melalui dasar strategik serta pelaksanaan projek tanpa birokrasi melampau.
“Kestabilan politik Sabah juga penting untuk tarik pelaburan dan bakat baharu bagi merancakkan ekonomi negeri,” katanya.
Musa turut menyeru rakyat agar memperbaharui tekad untuk kekal bersatu demi kemajuan Sabah dan Malaysia, sambil mengucapkan Selamat Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2025.