Pusat pengumpulan hasil pertanian Tenom siap 85 peratus

TENOM: Pusat Pengumpulan dan Pembelian Hasil Pertanian Tenom yang diuruskan oleh Koperasi Pembangunan Desa (KPD) kini mencapai tahap siap 85 peratus dan dijangka memberi manfaat kepada petani di Tenom, Kemabong dan Melalap.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, projek itu memudahkan petani memasarkan hasil kebun mereka secara lebih tersusun dan berdaya saing.

Beliau berkata, pembinaan projek Fasa 2 yang melibatkan pusat pemprosesan hasil pertanian akan dimulakan pada pertengahan tahun ini.

“Kemudahan ini akan memproses buah dan hasil pertanian yang kurang kualiti luaran menjadi produk makanan kering serta bernilai tambah, di samping mengurus lebihan hasil bagi mengelakkan pembaziran,” katanya.

Jamawi turut menzahirkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor atas kelulusan peruntukan projek tersebut.

Beliau turut menerima taklimat daripada Timbalan Pengurus Besar (Operasi) APCC, Andree Funk mengenai kemajuan projek semasa.