LABUAN: Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan Labuan (JASWPL) hari ini melakukan serbuan terhadap tapak projek pembinaan di Pulau Rusukan Kecil, W.P. Labuan.
Ini susulan siasatan mendapati kerja-kerja tanah dan pembinaan sedang dijalankan tanpa kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).
Operasi penguatkuasaan bersepadu itu turut menyita serta-merta peralatan dan jentera pembinaan melalui Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) bagi menghentikan sebarang aktiviti di tapak seluas 11 ekar tersebut.
Menurut JASWPL, projek terbabit disyaki melanggar Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015, di bawah Jadual Kedua, Aktiviti 12. Tindakan POK dilaksanakan mengikut Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, bagi menyekat sebarang operasi jentera dan peralatan pembinaan.
Operasi itu melibatkan 17 anggota penguatkuasa, diketuai JASWPL, dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) WP Labuan, Jabatan Perikanan Malaysia WP Labuan, dan Perbadanan Labuan.
JASWPL menegaskan semua pemaju perlu mematuhi prosedur perundangan sebelum memulakan projek pembangunan, terutamanya di kawasan sensitif seperti Taman Laut, bagi mengelakkan sebarang pelanggaran undang-undang alam sekitar.
