Projek Naik Taraf Loji Air Kogopon Fasa 2 Capai 52 Peratus Kemajuan – Armizan

PAPAR: Projek Naik Taraf Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon Fasa 2 kini mencatat kemajuan 52 peratus meskipun berdepan cabaran cuaca dan gangguan struktur dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata kerja-kerja pembinaan semula telah disambung selepas tergendala selama tiga hingga empat minggu akibat hujan lebat yang turut menyebabkan kejadian runtuhan kecil di kawasan projek.

Menurut beliau, walaupun projek terbabit berdepan kesukaran, kemajuannya tetap menunjukkan peningkatan hasil pemantauan rapi pihak berkaitan serta komitmen tenaga kerja di lapangan.

“Sekarang kerja sudah mula semula dan pemantauan berterusan akan dilakukan.

“Apa yang penting, saya mempunyai rakan kerjasama yang komited di Limbahau, iaitu Datuk Juil,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Armizan turut memaklumkan bahawa projek pembinaan sistem pengambilan air (water intake) kedua di Kampung Kabang telah diambil alih sepenuhnya oleh JETAMA, syarikat milik kerajaan negeri Sabah.

Katanya, langkah itu akan mempercepat pelaksanaan projek dan Datuk Juil sendiri akan memastikan pemantauan dibuat dari peringkat awal.

“Projek ini kini dilaksanakan oleh JETAMA, sebuah GLC negeri yang diberi tanggungjawab sepenuhnya terhadap pembinaan water intake kedua itu,” katanya.

Projek tersebut merupakan inisiatif bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, dengan pembiayaan menerusi pinjaman mudah yang telah diluluskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dengan kos keseluruhan RM365 juta, projek ini dijangka meningkatkan kapasiti bekalan air bersih sehingga 80 juta liter sehari, sekali gus menyelesaikan isu bekalan air yang telah lama membelenggu kawasan Papar dan sekitarnya.