Projek Kompleks Sukan Tongod disambung semula awal 2026, janji Masiung
TONGOD: Kerja-kerja membina Kompleks Sukan Tongod yang ditamatkan kontrak pembinaannya pada Julai lalu dijangka disambung semula awal tahun hadapan, kata penyandang kerusi DUN Kuamut, Datuk Masiung Banah.
Beliau menjelaskan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini sedang menyiapkan dokumentasi untuk melantik kontraktor baharu bagi menyiapkan projek bernilai RM7 juta itu.
“Syarikat pelaksana sebelum ini ditamatkan kontrak selepas gagal menyiapkan projek dalam tempoh ditetapkan, walaupun diberi lanjutan masa sebanyak empat kali,” katanya di sini semalam.
Masiung menegaskan isu itu sering dibangkitkan pembangkang, tetapi kontraktor terbabit dilantik semasa mereka memerintah.
“Kita tidak mempersoalkan kroni, tetapi mereka harus berdaya maju menyiapkan kerja mengikut jadual,” jelasnya.
Beliau yakin kontraktor baharu hanya perlu menyiapkan baki kerja termasuk pembinaan lapangan trek, sambungan elektrik dan air, dan menjangkakan projek selesai dalam tempoh dua tahun.
