PRN Sabah: Warisan sah bertanding 73 kerusi DUN Sabah – Mohd Shafie

SEMPORNA: Parti Warisan (WARISAN) mengesahkan bertanding keseluruhan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 (PRN17) yang dijangka berlangsung tahun ini.

WARISAN membuat keputusan tersebut dalam keadaan parti itu sebelum ini menetapkan bertanding secara solo tanpa bekerjasama dengan parti politik lain, sekali gus menyaksikan persaingan sengit melawan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Perikatan Nasional (PH), Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (PN) serta beberapa parti politik tempatan.

Mohd Shafie Apdal dalam Majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Imam Laggu, Jalan Kunak-Semporna hari ini.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, beliau bersedia menghadapi pilihan raya negeri kali ini atas keyakinannya selepas menilai kesemua 73 calon parti yang berpotensi menang kerusi DUN.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, kesemua persiapan sudah dilakukan dan hanya menunggu Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor untuk membubar DUN, manakala Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh sebenar PRN.

“Kami akan bertanding 73 kerusi yang ada dan sudah mempunyai calon berpotensi. Kami cuma tinggal menunggu pengumuman sahaja lagi,” katanya.    

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Imam Laggu, Jalan Kunak-Semporna hari ini.

Beliau menyenaraikan tiga kriteria utama calon yang dipilih untuk bertanding dalam PRN iaitu calon boleh menang, tidak melompat parti dan perlu memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Kami tidak mahu esok apabila menjadi calon dan Yang Berhormat (YB) meninggalkan rakyat dan merosakkan parti. Jangan tutup pintu (tidak berkhidmat kepada rakyat), apabila sudah datang PRN seterusnya, dia (bakal calon) tutup undinya.

“Ini kebimbangan kami. Kita pastikan supaya amalan perkhidmatan kita kepada rakyat ada kelangsungan dan jangan bermusim,” katanya.

Pada Mei lalu, portal berita melaporkan, WARISAN tidak menolak kemungkinan bertanding 73 kerusi melihat kepada potensi kemenangan, kedudukan dan keupayaan parti untuk menang pada PRN kali ini.

“Kami bukan banyak duit. Terbatas tetapi saya harap rakyat di Sabah bukan hanya pandang kepada duit,” katanya dalam Program Jelajah Presiden PRN 17 di Tungku.