PRN Sabah: Usukan ‘Dibangkitkan’ Semula? Japlin Janji Fokus Baiki Jalan, Air, Elektrik

USUKAN: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan, Datuk Japlin Akim, menegaskan bahawa penambahbaikan kemudahan asas akan menjadi fokus utamanya sekiranya diberikan mandat pada pilihan raya kali ini.

Japlin berkata, kepercayaan yang diberikan semula oleh akar umbi untuk mewakili GRS selepas kali terakhir berkhidmat pada 2020 merupakan amanah besar yang akan dipikul sebaik mungkin.

Menurutnya, masih banyak isu asas di Usukan yang perlu diselesaikan segera, termasuk keadaan jalan kampung yang uzur, keperluan meningkatkan bekalan elektrik, serta memastikan akses air bersih yang stabil dan menyeluruh.

“Jika rakyat memberi mandat sekali lagi, inilah impian kita – membela dan memperbaiki prasarana serta keperluan asas dari masa ke masa,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menegaskan komitmennya untuk turun padang secara konsisten, mendengar keperluan masyarakat dan memastikan setiap perancangan pembangunan membawa manfaat kepada seluruh penduduk Usukan.