PRN Sabah: UMNO, BN Sabah tolak kerjasama dengan GRS – Zahid

KOTA KINABALU: UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah menegaskan pendirian untuk tidak menjalinkan sebarang bentuk kerjasama politik dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dibuat selepas beberapa siri perbincangan dan rundingan melibatkan pimpinan UMNO di peringkat negeri dan pusat.

Beliau berkata, UMNO telah meneliti semua aspek serta maklumat berkaitan termasuk hasil perbincangan tiga pihak (tripartite discussion) sebelum membuat keputusan tersebut.

“Kami telah menyampaikan keputusan kepada Jawatankuasa Biro Politik UMNO Sabah bahawa tidak akan ada kerjasama dengan GRS,” katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat tertutup bersama pimpinan UMNO Sabah di bangunan UMNO negeri, di sini malam ini.

Ahmad Zahid merupakan  Pengerusi BN menegaskan, UMNO dan BN akan kekal bersama Pakatan Harapan (PH) dalam gabungan sedia ada di peringkat Persekutuan.

“UMNO dan BN kekal menyokong kerajaan perpaduan bersama PH dan rakan-rakan gabungan lain,” ujarnya.

Sebelum ini, kerjasama antara UMNO, BN dan GRS sering menjadi persoalan menjelang pilihan raya negeri Sabah yang dijangka diadakan dalam tempoh terdekat.