PRN Sabah: RM1 Minyak, Hospital Setiap Parlimen, Rumah dan Pendidikan percuma kepada rakyat Sabah

KOTA KINABALU: Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri) tampil dengan manifesto yang dianggap paling menyeluruh dan berani menjanjikan perubahan besar untuk rakyat Sabah sekiranya diberi mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) iniz

Pengarah Pilihan Rayanya, Jismit Japong, berkata manifesto bertemakan “Sabah Maju, Anak Negeri Terbela” menumpukan kepada kebajikan rakyat, ekonomi negeri serta hak autonomi Sabah yang lebih kukuh.

Katanya, Antara tawaran utama termasuk harga petrol dan diesel hanya RM1.00 seliter khusus untuk Sabah dan Sarawak, selain pendidikan percuma selama 10 tahun dengan dana khas RM1 bilion.

“Parti Anak Negeri mahu rakyat menikmati hasil negeri sendiri. Kami mahu pastikan rakyat Sabah tidak lagi menjadi penonton kepada pembangunan di tanah air sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, manifesto turut memperuntukkan RM3 bilion bagi pembangunan usahawan meliputi Bumiputera Islam, Bumiputera bukan Islam dan masyarakat Cina.

Selain itu, katanya rancangan membuka peluang pelaburan minyak dan gas kepada pelabur tempatan serta asing di seluruh Sabah.

“Bagi sektor kesihatan dan pendidikan tinggi, Anak Negeri berjanji membina hospital lengkap milik kerajaan Sabah di setiap kawasan Parlimen.

“Ini termasuk menubuhkan universiti bertaraf antarabangsa milik penuh negeri selepas memerintah negeri ini nanti,” katanya.

Rakyat berpendapatan rendah turut dijanjikan 500 unit rumah percuma tiga bilik di setiap kawasan Parlimen, manakala mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap, termasuk nelayan dan petani, bakal menerima bantuan khas RM400 sebulan.

“Manifesto ini bukan sekadar janji politik, tetapi pelan tindakan menyeluruh untuk membina Sabah yang berdikari, makmur dan adil untuk semua rakyat,” tegas Jismit.