KOTA KINABALU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah akan menampilkan keseimbangan antara calon daripada barisan pimpinan parti dan profesional luar menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, keseimbangan itu penting bagi memastikan kedudukan PKR terus kukuh serta mampu menambah bilangan kerusi di negeri ini.
Menurutnya, meskipun banyak permohonan diterima daripada individu luar yang berminat menjadi calon, keutamaan tetap akan diberikan kepada pimpinan sedia ada.
“Proses penilaian akan dibuat secara teliti, namun kami perlu bersikap terbuka seperti parti-parti lain yang turut merekrut calon dari luar.
“Kami akan pastikan pimpinan sedia ada dijaga dan tidak diketepikan. Sebab itu kami cari keseimbangan untuk kebaikan parti,” katanya selepas melancarkan Program Tuisyen Satelit Malaysia MADANI di Kota Kinabalu, hari ini.
Mengulas mengenai kewujudan calon “payung terjun”, Mustapha menegaskan pendekatan terbuka itu bukan bermaksud mengetepikan pemimpin akar umbi, sebaliknya strategi memperkukuh kekuatan parti.
Dalam pada itu, beliau berkata rundingan dengan Barisan Nasional (BN) hampir selesai dengan hanya satu atau dua kerusi yang masih belum dimuktamadkan.
“Dengan BN hampir tidak banyak masalah, hanya tinggal satu dua kerusi sahaja dan saya yakin ia akan diselesaikan. Dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pun ada beberapa kerusi bertindih, tetapi perkara itu juga akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya.
Mustapha yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia turut mengesahkan beliau tidak akan bertanding pada PRN kali ini bagi memberi tumpuan kepada strategi kemenangan calon-calon PKR dan memastikan agenda reformasi diteruskan selaras aspirasi Kerajaan MADANI.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon bagi PRN Sabah pada 15 November, undi awal pada 25 November dan hari mengundi pada 29 November ini.
