PRN Sabah: Pertembungan Dua Beradik di DUN Pitas Curi Tumpuan Hari Penamaan Calon

PITAS: Suasana di Pusat Penamaan Calon PRU Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di Dewan Tun Mustapha, Kudat hari ini mencuri tumpuan apabila dua beradik tampil sebagai pencabar antara satu sama lain bagi kerusi DUN Pitas.

Pertembungan luar biasa itu menyaksikan Datuk Harun Ismail mewakili Parti Warisan Sabah (Warisan), manakala adiknya, Datuk Bolkiah Ismail, membawa panji Barisan Nasional (BN).

Bolkiah ketika ditemui berkata, pertandingan sesama ahli keluarga bukan perkara baharu dalam arena politik negara, malah menggambarkan kematangan sistem demokrasi.

“Ini proses demokrasi yang kita amalkan. Saya hadir sebagai calon BN dan memikul amanah parti untuk menawarkan yang terbaik kepada rakyat Pitas,” katanya.

Menurutnya, meskipun berdepan abang sendiri, hubungan kekeluargaan tidak akan terjejas kerana masing-masing menjalankan tanggungjawab berdasarkan mandat parti.

“Saya berharap pengundi dapat membuat pilihan terbaik dan menilai parti yang benar-benar mampu membawa pembangunan kepada kawasan ini,” ujarnya.

Pertembungan dua beradik itu menjadi antara episod paling mencuri perhatian pada hari penamaan calon PRU DUN Sabah kali ini.