KIULU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menafikan khabar angin bahawa parti itu akan meninggalkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dua minggu selepas Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) mengumumkan keluar daripada gabungan berkenaan.
Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai, berkata spekulasi tersebut hanya cubaan untuk menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat serta melemahkan perpaduan dalam GRS menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu menegaskan isu PBS keluar daripada GRS tidak pernah dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi parti baru-baru ini.
“Malah, pemangku presiden kami, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, turut menegaskan komitmen PBS untuk terus memperkukuh GRS sebagai gabungan tempatan yang mengekalkan hubungan baik serta saling menghormati dengan kerajaan persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Joniston berkata, pendirian PBS sentiasa berpaksikan kepada kepercayaan bahawa perpaduan antara parti-parti tempatan amat penting bagi menjamin kestabilan politik jangka panjang dan memastikan kepentingan Sabah terus terpelihara.
Menurutnya, perubahan arah politik yang kerap boleh membawa kesan negatif terhadap pembangunan negeri kerana akan mewujudkan suasana tidak stabil yang merugikan rakyat.
“Kita tidak mampu berpecah-belah kerana hanya pihak lain yang akan mendapat keuntungan jika kita berpecah,” katanya sambil menegaskan PBS kekal komited memastikan GRS berkembang menjadi kuasa politik dominan di Sabah seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak.
Terdahulu, PBS dilaporkan sedang menilai semula hala tuju politiknya selepas STAR mengumumkan keluar GRS. Namun, nasihat daripada penasihat parti, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, agar PBS terus bersatu dan mempertimbangkan semula kerjasama dengan STAR turut diambil maklum.