TUARAN: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau melahirkan rasa kesal terhadap penetapan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 pada 29 November ini yang disifatkannya tidak selaras dengan semangat Rukun Negara dan mengabaikan sensitiviti keagamaan rakyat berbilang kaum di negara ini.
Beliau berkata, penetapan hari Sabtu sebagai hari mengundi sepatutnya mengambil kira keperluan penganut agama tertentu seperti Seventh-Day Adventist (SDA) dan True Jesus Church yang menjadikan hari tersebut sebagai hari ibadah dan larangan melakukan sebarang urusan duniawi.
Menurutnya, bagi penganut SDA, aktiviti duniawi termasuk keluar mengundi tidak dibenarkan bermula dari matahari terbenam pada hari Jumaat hingga matahari terbenam pada hari Sabtu, iaitu sekitar jam 5.59 petang bagi tarikh 29 November 2025.
“Oleh itu, saya mencadangkan agar masa pengundian dipanjangkan sehingga jam 7.00 malam bagi memberi peluang kepada penganut agama berkenaan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi tanpa mengabaikan tuntutan kerohanian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Madius menegaskan, keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari Sabtu sebagai hari mengundi seolah-olah tidak menghormati prinsip pertama dan kelima Rukun Negara — Kepercayaan kepada Tuhan serta Kesopanan dan Kesusilaan.
Katanya, penetapan tarikh tanpa mengambil kira nilai keagamaan itu bukan sahaja bertentangan dengan semangat Rukun Negara, malah mencanggahi Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menekankan pembentukan insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI).
Beliau turut menggesa SPR agar meneliti semula garis panduan penetapan tarikh pilihan raya bagi menghormati kepelbagaian kepercayaan rakyat Malaysia.
“Ini demi memastikan setiap warganegara dapat melaksanakan hak demokrasi mereka dengan adil dan penuh rasa hormat terhadap kepercayaan masing-masing,” katanya.
