PRN Sabah: Lawan Sudah Tiada Modal, Asyik Kaitkan KDM Dengan Parti Warisan 

KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menegaskan sekali lagi bahawa parti itu akan bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang bakal diadakan bila-bila masa.

Setiausaha Agungnya, Willie Jude Junaidi, berkata pihak lawan kini seolah-olah kehabisan modal apabila terus mengaitkan KDM dengan parti lain, khususnya Warisan, sedangkan kedua-duanya bakal bertembung di banyak kawasan.

“Mungkin mereka sudah tiada modal, hanya guna ‘cybertrooper’ untuk kaitkan kami dengan parti lain, kononnya undi KDM akan menguntungkan Warisan. Tapi saya anggap ini strategi murahan kerana mereka mula rasa tercabar dengan kekuatan KDM ketika ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau menegaskan, dakwaan kononnya KDM menjalinkan kerjasama senyap dengan Warisan tidak berasas sama sekali dan hanya dicipta untuk melemahkan semangat penyokong parti itu.

“Saya tidak nafikan isu ini sedikit sebanyak beri kesan kerana ada pemimpin bahagian bertanya kepada saya. Jadi saya ingin tegaskan, KDM kekal fokus menghadapi PRN17 dan akan bertanding secara solo,” katanya.

Dalam pada itu, Willie memaklumkan senarai calon KDM kini di peringkat akhir dan akan diumumkan tidak lama lagi selepas dimuktamadkan oleh pimpinan tertinggi parti.

“Akan diumumkan nanti, dijangka sekali dengan pelancaran manifesto parti. Tunggu saja,” katanya.