KOTA KINABALU : Keputusan bergabung bersama Pakatan Harapan (PH) Sabah menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bukanlah dilakukan secara terburu-buru.
Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, perbincangan hala tuju antara keduanya membabitkan antara GRS bersama PH Sabah dibincang secara terbuka sebelum ini.
Katanya, pihaknya sudah menyatakan pendirian kerajaan negeri melalui siri perbincangan dalam mesyuarat rasmi merupakan keputusan sangat positif.
“Jadi sekarang ini, ia sedang diperhalusi lagi beberapa perkara yang berkaitan.
“Kita menyifatkan ia merupakan satu keputusan amat baik untuk negeri Sabah, “katanya di sini hari ini.
Hajiji berkata, menolak dakwaan bahawa perkara tersebut dilakukan secara terburu-buru sekali gus tidak dilakukan sewenang-wenangnya oleh mana-mana pihak.
Beliau pada masa sama menepis dakwaan bahawa keputusan gabungan GRS dan PH Sabah itu tanpa berunding dengan parti komponen yang lain.
“Saya akan panggil nanti, mana saya boleh umum sekarang, setakat ini belum lagi.
“Kita sudah berbincang di GRS oleh Presiden parti, jadi orang cakap jangan kamu terlampu dengar, politik di Sabah ini terlampu banyak orang bijak politik, “katanya.
Terdahulu, dalam Perhimpunan Agung Tahunan PGRS Ahad lalu, Hajiji merupakan Presiden parti berkenaan secara terbuka menjelaskan pendirian GRS untuk bergabung bersama PH Sabah bagi menghadapi PRN Sabah akan datang.
Bagaimanapun, semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula mendedahkan bahawa pakatan BN dan PH Sabah sudah ‘berkunci’ untuk menghadapi pilihan raya di negeri ini.