TENOM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerjasama kukuh antara parti tempatan dan nasional menjadi kunci utama untuk memastikan pembangunan Sabah terus berjalan lancar selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Berucap pada Program Ramah Mesra Harapan Urang Sabah di Dewan Datuk OKK Sanggau hari ini, Anwar berkata Sabah sudah menunjukkan banyak kemajuan melalui kerjasama kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH).
Menurut beliau, sokongan rakyat kepada kerajaan amat diperlukan supaya masalah yang belum selesai dapat ditangani segera.
“Kerjasama parti nasional dan tempatan penting. Jangan sombong… kalau tiada kerjasama, pembangunan tidak jalan.
“Kita tolak orang yang mahu curi duit rakyat, malas bekerja. Kalau pemimpin itu baik dan bekerja, kita sokong berdasarkan rekod.
“Kalau saya tidak turun padang, masalah air dan jalan tidak akan selesai,” katanya.
Hadir sama ialah calon PH bagi DUN Melalap, Datuk Jamawi Jaafar.
Kerjasama negeri–Persekutuan kekal keutamaan
Anwar yang juga Pengerusi PH menjelaskan, kemenangan calon PH dalam PRN Sabah bukan bertujuan merebut jawatan Ketua Menteri, sebaliknya memastikan kesinambungan dasar pembangunan bersama kerajaan negeri.
“PH mahu kekalkan dasar, mahu terus bekerjasama dengan kerajaan negeri. Kita mahu bangunkan Sabah, itu yang paling utama.
“Kenapa perlu sokong parti kerajaan? Sebab banyak masalah belum selesai — air, jalan berlubang, elektrik. Kita perlukan hubungan baik antara negeri dan Persekutuan untuk selesaikan cepat,” jelasnya.
PRN kali ini menyaksikan Jamawi (PKR/PH) berdepan saingan tujuh penjuru di DUN Melalap, dalam Parlimen Tenom—sekitar 140km dari Kota Kinabalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 November sebagai hari mengundi, manakala undi awal pada 25 November.
