PRN Sabah: Bung Moktar Dakwa Jadi Sasaran, Tetap Yakin Pertahan Lamag

KOTA KINABALU: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengakui beliau kini menjadi sasaran utama pihak lawan yang mahu melihat Barisan Nasional (BN) tumbang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Calon BN di DUN Lamag itu berkata maklumat yang diterimanya menunjukkan jentera parti lawan kini memberi tumpuan besar ke atas kerusi tersebut.

Pada PRN Sabah ke-16, Bung Moktar menewaskan empat pencabarnya dengan majoriti 661 undi dan Lamag dilihat sebagai antara kubu penting BN di kawasan pedalaman timur Sabah.

Namun pada PRN kali ini, persaingan enam penjuru membabitkan BN, GRS, Warisan, PN, Bebas dan Parti Impian Sabah (PIS) menjadikan kerusi itu antara medan paling sengit.

Menurut Bung, serangan politik terhadapnya tidak melemahkan semangat malah meningkatkan keyakinannya bahawa pengundi Lamag akan terus bersama BN.

Katanya, pembangunan yang dibawa selama ini menjadi bukti komitmennya terhadap rakyat, termasuk pelbagai projek yang berjaya mengubah wajah daerah berkenaan.

Beliau menegaskan sentimen yang dimainkan pihak lawan seperti slogan “Sabah untuk Sabahan” hanya retorik tanpa tawaran sebenar kepada rakyat.

Jelasnya, banyak infrastruktur telah berjaya dibangunkan, namun masih terdapat beberapa keperluan seperti kolej komuniti dan kompleks sukan yang sedang diusahakan untuk direalisasikan.

Sementara itu, penganalisis politik UMS, Prof Madya Dr Romzi Ationg berkata walaupun Lamag dianggap ‘kerusi panas’, kekuatan Bung Moktar masih kukuh di lapangan berikutan rekod perkhidmatannya dan hubungan rapatnya dengan masyarakat tempatan.

Katanya, perpecahan undi dalam kalangan parti lawan boleh memberi kelebihan besar kepada BN.

DUN Lamag kini mempunyai 13,859 pengundi dengan 33.4 peratus daripadanya terdiri daripada pengundi muda berusia 18 hingga 29 tahun, menjadikan suara belia penentu utama pola sokongan kali ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 25 November sebagai hari undi awal dan 29 November sebagai hari pengundian PRN Sabah ke-17.