KOTA KINABALU – Parti Warisan Sabah (Warisan) terus menerima suntikan semangat baharu apabila dua pemimpin politik berpengaruh di daerah Tuaran, bekas Timbalan Ketua Cabang PKR Tuaran, Chrisnadia Sinam, dan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk William Mojimbun, mengumumkan penyertaan mereka ke dalam Warisan.
Kedua-dua mereka menyerahkan borang keahlian kepada Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dalam satu majlis ringkas di ibu pejabat parti itu di Kota Kinabalu, hari ini.
Turut bersama dalam penyertaan itu ialah lebih 100 ahli daripada kedua-dua parti berkenaan yang kini secara rasmi menyertai perjuangan Warisan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Dalam ucapannya, Chrisnadia berkata keputusan menyertai Warisan dibuat selepas menilai kepimpinan Shafie yang konsisten memperjuangkan hak rakyat Sabah dan memperkukuh autonomi negeri.
“Warisan ialah platform yang benar-benar mengangkat suara rakyat Sabah. Kami mahu menjadi sebahagian daripada perjuangan ini untuk memastikan Sabah terus maju,” katanya.
Sementara itu, William berkata penyertaannya bersama lebih 100 penyokong PBS menunjukkan keyakinan mereka terhadap perjuangan Warisan yang inklusif dan berasaskan keperluan rakyat.
“Kami percaya Warisan bukan sekadar parti politik tetapi gerakan yang memperjuangkan keadilan sosial dan pembangunan seimbang untuk semua daerah,” katanya.
Dalam pada itu, Shafie menyambut baik kemasukan kedua-dua pemimpin berpengalaman itu, menyifatkannya sebagai tanda kepercayaan rakyat terhadap hala tuju perjuangan Warisan.
“Kita terbuka menerima sesiapa sahaja yang ingin bersama membina Sabah yang lebih baik.
“Apa yang penting ialah keikhlasan untuk berkhidmat demi rakyat,” tegasnya.
