TAMBUNAN: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) telah memuktamadkan agihan kerusi yang akan ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, namun pengumuman rasmi hanya akan dibuat pada Hari Penamaan Calon.
Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata perkara itu telah dipersetujui bersama namun tidak boleh didedahkan buat masa ini.
“Ya, kami sudah tahu, tetapi saya tidak boleh umumkan sekarang. Tunggu sahaja pada Hari Penamaan Calon dan anda akan tahu bilangannya,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hajiji berkata, GRS akan melancarkan manifestonya selepas Hari Penamaan Calon sebagai tawaran rasmi kepada rakyat Sabah menjelang PRN akan datang.
“Kami akan menawarkan yang terbaik kepada rakyat Sabah. Saya yakin, mandat rakyat akan dikembalikan kepada GRS-PH berdasarkan rekod pentadbiran yang kukuh sepanjang lima tahun ini,” katanya.
Beliau berkata, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan sepanjang tempoh pentadbiran GRS, termasuk pelaburan berimpak tinggi yang berjaya merancakkan pembangunan ekonomi negeri.
“Antaranya termasuk peruntukan melebihi RM1.3 bilion untuk pembangunan modal insan, serta bantuan bulanan sebanyak RM300 kepada golongan miskin tegar yang berdaftar di bawah senarai e-Kasih.
“Kami turut mencatat kejayaan dalam sektor minyak dan gas yang sebelum ini tidak pernah dicapai. Walaupun pembangkang cuba menafikan pencapaian ini, saya percaya rakyat kini lebih matang dan mampu menilai sendiri usaha kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji turut menjangkakan suasana PRN kali ini akan lebih meriah susulan banyak parti politik menyatakan hasrat untuk bertanding.
“Marilah kita sama-sama meraikan demokrasi dengan penuh tanggungjawab dan kematangan,” katanya.