PRN Sabah: 70 peratus Calon KDM Dari Golongan Belia – Wetrom

PRN Sabah: 70 peratus Calon KDM Dari Golongan Belia – Wetrom

KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) tampil berani dengan menampilkan 70 peratus calon daripada golongan belia pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), sebagai simbol perubahan dan tenaga baharu politik Sabah.

Timbalan Presiden KDM, Datuk Wetrom Bahanda, berkata calon muda itu digandingkan dengan calon berpengalaman yang mewakili pelbagai latar belakang termasuk ahli akademik, usahawan dan profesional.

“Calon yang kami ketengahkan adalah suara rakyat di setiap kawasan. Mereka bukan hanya muda dan bertenaga, tetapi juga memiliki idealisme dan semangat untuk membawa perubahan,” katanya di sini hari ini.

Wetrom menjelaskan, KDM bakal bertanding di 40 kerusi, namun hanya 39 calon diumumkan hari ini, manakala calon bagi DUN Kemabong akan diumumkan esok (Jumaat).

Dalam majlis itu, beliau bersama Pemangku Presiden KDM, Priscella Peter, turut melancarkan manifesto parti yang menumpukan kepada pembangunan luar bandar, peluang pekerjaan untuk belia dan keadilan sosial di seluruh Sabah.

Wetrom yang turut mengesahkan akan mempertahankan kerusi DUN Matunggong, berkata keyakinan parti terletak pada keupayaan barisan muda membawa nafas baharu dalam politik negeri.

Antara calon yang diumumkan termasuk Rahim @ Richard Mazagi (Bengkoka), Abd Hamid Kimin (Pitas), Jaiping Minsu (Bandau), Benson Tuyundo (Tandek), Josely Taising (Kadamaian), Henry Saimpon (Kiulu), Priscella Peter (Melalap) dan Ricky Hong Chee (Sri Tanjong).