PRN Sabah: 6,800 Ahli PGRS Jadi Senjata Kukuh Pertahan DUN Sebatik – Hassan Gani

TAWAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Datuk Hassan A Gani Pg Amir menegaskan komitmennya untuk terus mempertahankan kerusi kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN-17) akan datang.

Beliau berkata, mandat yang diberikan rakyat sejak dahulu merupakan amanah besar yang perlu diteruskan demi memperjuangkan pembangunan serta kebajikan masyarakat Sebatik.

“Kawasan ini mempunyai keunikan tersendiri dan memerlukan sentuhan berterusan, sama ada dari segi ekonomi, infrastruktur mahupun pendidikan.

“Justeru, saya akan pastikan suara rakyat Sebatik terus didengar di peringkat negeri,” katanya di sini hari ini.

Hassan yang juga Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Sebatik berkata, sehingga kini sebanyak 6,800 ahli berdaftar, sekali gus menjadi kekuatan utama dalam memastikan kerusi itu dapat dipertahankan.

“Dengan sokongan padu ahli di peringkat akar umbi, saya yakin kerusi ini dapat terus dikekalkan. Jumlah keahlian yang ramai sudah tentu menjadi aset penting kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN kali ini,” katanya lagi.

Menurutnya, jentera PGRS di DUN Sebatik juga sudah digerakkan lebih awal sebagai persediaan menghadapi PRN-17 yang dijangka boleh diadakan pada bila-bila masa.

Beliau berkata, kesiapsiagaan awal itu merupakan strategi penting untuk memastikan kemenangan dapat dikekalkan sekaligus memberi sumbangan kerusi kepada GRS.

“Ini adalah faktor utama yang memberi keyakinan bahawa DUN Sebatik mampu mempertahankan kemenangan dan terus menjadi benteng sokongan kepada GRS,” tegas Hassan.