KOTA KINABALU: Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) digesa membantu kerajaan negeri memperjelaskan pencapaian dan dasar Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kepada rakyat di kawasan masing-masing.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, banyak kejayaan kerajaan negeri belum diketahui secara menyeluruh oleh rakyat kerana tidak disampaikan dengan berkesan.
“Ini sekali gus menyebabkan isu tertentu lebih menonjol dalam persepsi awam.
“Pelaksanaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) sejak 2021 telah berjaya memulihkan ekonomi negeri, meningkatkan hasil negeri serta memperkukuh kedudukan kewangan Sabah,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, kejayaan menarik pelaburan termasuk di SOGIP serta kemasukan pelaburan baharu bernilai RM31 bilion membuktikan keyakinan pelabur terhadap kestabilan dan hala tuju ekonomi negeri.
Beliau berharap semua PPM yang mengangkat sumpah dapat menjalankan amanah dengan penuh integriti dan komitmen demi kepentingan rakyat dan masa depan Sabah.
