PPM diingatkan jaga integriti, wakili kerajaan negeri – Hajiji

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menegaskan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) perlu melaksanakan tugas dengan penuh integriti kerana mereka berperanan sebagai wakil Kerajaan Negeri di kawasan masing-masing, termasuk di kawasan pembangkang.

Beliau berkata PPM harus menjadi penghubung berkesan antara kerajaan dan rakyat, serta bertindak sebagai mata dan telinga kerajaan dalam menyampaikan maklumat serta mengenal pasti keperluan sebenar rakyat.

“Tindakan tegas akan diambil sekiranya ada PPM yang mengejar kepentingan peribadi atau menyalahgunakan kuasa. Keutamaan mesti diberikan kepada rakyat yang benar-benar memerlukan bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis angkat sumpah fasa kedua PPM, yang menyaksikan sebahagian besar mereka ditempatkan di kawasan pembangkang.

Selain itu, PPM turut diingatkan supaya memainkan peranan aktif dalam menerangkan dasar, inisiatif dan pencapaian Kerajaan Negeri di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi memastikan maklumat tepat sampai kepada rakyat di peringkat akar umbi.