BEAUFORT: Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon diaktifkan sepenuhnya petang ini susulan keadaan banjir yang semakin membimbangkan, sekali gus menjejaskan keselamatan penduduk di kawasan terlibat.
Pengisytiharan pembukaan PPK itu dibuat oleh Pegawai Daerah Beaufort, Mohd Nazri bin Ajun, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Beaufort, selepas menerima pandangan serta cadangan rasmi daripada Jawatankuasa Bencana Daerah.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan di lapangan mendapati beberapa kawasan penempatan dan rumah Penduduk Terjejas Bencana (PTB) tidak lagi selamat untuk didiami, sekali gus memerlukan tindakan pemindahan segera.
“PPK Selagon diisytiharkan dibuka berkuat kuasa jam 5.00 petang, bagi memastikan keselamatan serta kebajikan penduduk terjejas terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan rasmi hari ini.
Pengaktifan PPK itu dilaksanakan sebagai langkah pencegahan awal bagi mengelakkan risiko lebih besar, selain membolehkan bantuan serta pemantauan disalurkan secara tersusun dan berterusan.
Pihak berkuasa turut menasihatkan penduduk di kawasan berisiko agar sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pemindahan dan bekerjasama dengan agensi penyelamat bagi menjamin keselamatan semua pihak.
