Polis sahkan tiada penglibatan anak VIP terlibat kes kematian Zara Qairina

PAPAR : Tiada sebarang bukti menunjukkan penglibatan anak orang kenamaan, keluarga menteri atau pihak Istana Negeri Sabah.

Ketua Polis Daerah Papar, Supt  Kamaruddin Ambo Sakka berkata, ini susulan berkaitan kes kematian pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan baru-baru ini.

Katanya, setakat ini siasatan dijalankan tidak menemui sebarang bukti yang menunjukkan penglibatan mana-mana anak orang kenamaan (VIP) dalam kes berkenaan.

“Ini memandangkan tiada rekod menunjukkan anak-anak mereka bersekolah di sekolah itu.

“Polis akan menjalankan siasatan secara menyeluruh sekali gus berlaku adil tanpa sebarang unsur pilih kasih.  Kita tidak akan memberi perlindungan kepada mana-mana individu yang disyaki terlibat, tanpa mengira kedudukan atau pangkat,” katanya dalam satu kenyataan.

Kamaruddin berkata, polis menasihatkan orang ramai agar tidak terus membuat andaian atau menyebarkan dakwaan yang tidak sahih.

“Ini secara tidak langsung boleh mengganggu siasatan serta menjejaskan keadilan kepada keluarga mangsa,” jelas Kamaruddin.

Sebelum ini, tular di media sosial dakwaan yang mengaitkan kematian pelajar berkenaan dengan anak menteri, VIP dan individu berpengaruh hingga mencetuskan pelbagai reaksi netizen.